Monday, February 24, 2014

Pelaksanaan PBS ditangguhkan berkuatkuasa 17 Februari 2014


KUALA LUMPUR: Guru tidak perlu meneruskan pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sehingga kenyataan mengenainya dibuat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam masa terdekat.

Ketua Pengarahnya Datuk Dr Khair Mohamad Yusof dalam satu kenyataan pada Ahad berkata pihaknya akan memaklumkan hasil penelitian dan kajian semula berkaitan PBS setelah Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin berpuas hati dengan penambahbaikan yang dicadangkan.

Katanya penambahbaikan itu mengambil kira dapatan kajian terbaharu KPM, rungutan guru dan mengambil kira pandangan masyarakat termasuk Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM).

"KPM telah mengambil inisiatif meneliti semula pelaksanaannya agar dapat mengurangkan bebanan tugas guru, dengan memfokuskan kepada rombakan perkara yang melibatkan kekerapan guru memasukkan data termasuk pengisian borang perekodan prestasi murid yang boleh membebankan guru," katanya.

Selain itu, antara tidakan yang diambil KPM ialah menubuhkan Jawatankuasa Task force PBS di peringkat kementerian yang akan mengadakan mesyuarat setiap minggu bagi meneliti dan menilai perkembangan setiap tindakan terhadap penelitian PBS.

"War Rooms PBS di peringkat KPM juga diwujudkan untuk menangani isu-isu berbangkit berkaitan pelaksanaan PBS dengan segera dan berkesan termasuk membuat maklum balas segera mengenainya dari masa ke semasa," katanya.

KPM juga sedang melaksanakan usaha penambahbaikan terhadap capaian Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) bagi memastikan guru boleh mengakses sistem itu dengan lebih mudah dan berkesan.

Beliau juga memaklumkan bahawa KPM turut menangguhkan taklimat PBS di peringkat sekolah rendah dan menengah seluruh negara bermula 17 Feb lalu untuk mengelakkan kekeliruan terhadap pelaksanaannya.

KPM juga, katanya, telah mengadakan perbengkelan melibatkan guru termasuk kesatuan-kesatuan guru dalam usaha penelitian dan kajian semula pelaksanaan PBS pada Februari lalu dan hasilnya akan dibentangkan dalam tempoh terdekat.

"Kesemua tindakan itu diambil bagi memastikan setiap elemen pelaksanaan PBS dapat memberikan taksiran secara holistik terhadap murid dan dalam masa sama mengurangkan beban guru yang melaksanakannya," katanya.

************************************************************************************************************

P/S: Inilah masalahnya sekiranya pendidikan di Malaysia dicampuradukkan dengan politik. Bertukar menteri, maka bertukarlah polisi. Sistem lama belum mantap, dah nak tukar kepada sistem baru yang belum cukup dibuat kajian (pelaksanaan, sistem, respon penjawat awam yang akan melaksanakannya). Menteri² asyik nak cepat dapat nama. Memperkenalkan program itu ini dengan brand yang berlainan tetapi sebenarnya adalah program yang hampir sama dengan program² @ pelan² sebelumnya. Oh menteri... >.<

Post dipetik daripada Astro awani

Wednesday, July 24, 2013

Objektif Blog

Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK) adalah satu sistem pentaksiran yang diperkenalkan dalam transformasi pendidikan. SPPK merupakan transformasi daripada sistem yang menumpukan kepada ujian pencapaian dan peperiksaan (berorientasi peperiksaan) kepada sistem yang lebih holistik. Tujuannya ialah untuk menyediakan satu set indikator untuk menilai potensi murid dan kesediaan untuk belajar, selain menguji penguasaan dan pencapaian.

Laman blog ini dibina berdasarkan objektif-objektif berikut:
  • Sebagai platform bagi guru untuk menjalankan pentaksiran kepada pelajar
  • Memudahkan capaian (akses) oleh pelajar untuk melaksanakan aktiviti PBS
  • Menyelenggara evidens PBS dengan lebih teratur dan sistematik
Segala bahan dan maklumat dalam blog ini adalah untuk kegunaan peribadi penulis/pembina blog dengan pelajarnya dan tidak menggambarkan secara penuh kaedah pelaksanaan PBS oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.